Friday, September 12, 2014

G7 [Politik]

1. Alhamdulillah. UMNO Bahagian Ampang bersama pergerakan pemuda, wanita dan puteri sudah selesai melaksanakan Persidangan Perwakilan Tahunannya bagi Tahun 2014. Ia adalah persidangan kali ke-11 semenjak UMNO Bahagian Ampang ditubuhkan.

2. Di dalam perhimpunan ini, perasminya iaitu Datuk Seri Shafie Hj Apdal, Naib Presiden UMNO berkali-kali menekankan mengenai kesungguhan dan komitmen ahli UMNO terhadap masyarakat Melayu. Beliau berkali-kali memesan dengan bahasa kiasnya, bahawa ahli UMNO terlalu mementingkan pertandingan di dalam parti (contohnya G7) sehingga terlupa tiada guna menang di dalam parti andai parti tidak punyai kuasa politik.

3. G7 adalah kumpulan perwakilan yang dipilih melalui mesyuarat UMNO peringkat Bahagian untuk mewakili bahagian tersebut ke Perhimpunan Agung UMNO (PAU) bagi tahun tersebut. Mereka mengiringi enam pegawai di peringkat Bahagian iaitu Ketua, Timbalan, Naib serta Ketua-ketua Sayap UMNO Bahagian iaitu Wanita, Pemuda dan Puteri.

4. Semasa ucapan penggulungan, Ketua Bahagian YBhg. Dato' Hj. Ismail Kijo memaklumkan kepada perwakilan yang masih berada di dalam dewan, bahawa pertandingan G7 ini adalah seperti pertandingan adik beradik dan tidaklah begitu penting. Ianya adalah bagi memberi peluang kepada para perwakilan/ahli di peringkat cawangan dan bahagian untuk merasai kemeriahan suasana Perhimpunan Agung UMNO di PWTC.

5. Saya tidak pernah gagal menghadiri dan mengikuti perbahasan di PAU semenjak tahun 2000 lagi. Antara pembahas kegemaran saya pada waktu itu adalah Dato' Seri Hishamuddin, Dato' Azimi Daim, dan tentunya YAB Dato' Seri Dr. Mahathir Mohamad. Alhamdulillah, pada waktu tersebut tidak banyak pass/tag Pemerhati Bahagian dan Khas yang dikeluarkan pihak ibupejabat UMNO. Pass ini membenarkan saya memasuki dewan utama semasa perhimpunan tersebut berlangsung. Kini pas pemerhati hanya boleh menyaksikan perbahasan di dewan berasingan kerana jumlah perwakilan yang sudah bertambah (faktor pecah kawasan) dan bilangan pengamal media menjadikan dewan utama tidak lagi muat untuk ditempatkan pemerhati biasa. Hanya VIP dan pemerhati-pemerhati Khas sahaja yang dibenarkan.

6. Sepanjang 10 tahun pemerhatian saya di kerusi pemerhati, saya sangat bersetuju dengan pendapat YBhg. Dato' Ketua Bahagian Ampang. PAU adalah tempat para perwakilan merasai suasana perhimpunan UMNO yang meriah dengan warna-warninya. Seperti warna-warni Aidilfitri. Ini kerana, saya melihat keseriusan para perwakilan yang hadir dan juga para pembahas  tidak begitu menjalankan peranan masing-masing dengan baik.

7. Para perwakilan boleh dikatakan lebih sibuk bersantai di Riverside (Restoran ternama di PWTC) atau pun di Coffee House Hotel berdekatan. Ada juga yang sempat 'beraya' ke Pusat Membeli Belah KLCC dan Pavillion. Malah mereka tidak segan silu mengenakan pass perwakilan dengan lengkap berbaju Melayu semasa 'ponteng' sesi perbahasan. Sedangkan di Skrin besar di PWTC, terdapat beratus kaum ibu yang sanggup tunggu dan duduk malah tertidur di lantai laman tersebut hanya untuk mendengar amanat para pembahas. Sedangkan kerusi di dalam dewan kosong kerana perwakilan sibuk di tempat lain. Mungkin bagi kaum ibu ini, mereka memahami bahawa segala apa yang dibincangkan akan menjadi dasar kerajaan demi memastikan kelangsungan kuasa politik Melayu terus terpelihara dan agenda Negara tercapai. Dengan khusyuk dan tekun, saya kagum dengan semangat kaum ibu ini.

8. Disebabkan itu, saya terpanggil untuk mengisi satu daripada 7 kekosongan kumpulan ini bagi tahun hadapannya (2011). Hasrat saya pada mulanya menerima tentangan di pelbagai peringkat. Pihak bahagian mengambil pendirian agar G7 pada tahun tersebut  tidak dipertandingkan dengan 'sebab':-

a) Pilihanraya Umum semakin hampir. Kebanyakan Bahagian di Selangor sepakat tidak bertanding G7. Ianya bagi megelakkan perpecahan dalaman parti dan menunjukkan UMNO Selangor bersatu pada waktu tersebut dan sudah bersiap sedia menghadapi parti lawan.

b) Dibimbangi Mesyuarat akan berlanjutan sehingga dua hari sekiranya proses undian dijalankan. Lebih cepat tamat mesyuarat adalah lebih baik untuk semua pihak.

c) Secara khususnya kepada saya, saya dianggap tidak melalui proses yang betul kerana pertandingan G7 adalah mewakili peringkat Bahagian. Seharusnya saya melalui proses perwakilan G2 iaitu melalui peringkat pemuda.

d) Mungkin, kerana umur saya baru 23 tahun ketika itu.

9. Saya diminta untuk menarik diri tetapi enggan kerana saya tidak bersetuju dengan semua 'sebab' tersebut. Saya yakin dengan apa yang saya lakukan. Saya juga mahu mendapatkan kelayakan G7 melalui pertandingan dan bukannya 'diberi laluan'. Tetapi Ketua Penerangan UMNO Bahagian ketika itu, Tuan Norashid Abd Aziz menarik diri untuk saya. Saya sedikit kecewa kerana terpaksa memilih jalan tersebut walaupun bersyukur kerana peroleh peluang yang begitu bermakna seumur hidup saya.

10. Seperti jangkaan, keengganan saya dan pemberian laluan tersebut menyebabkan saya dikecam teruk di kedai-kedai kopi. Tetapi itu bukan pilihan saya. Saya yakin saya hanya mengambil langkah selari dengan syarat parti. Syarat parti membenarkannya berlaku. Saya tidak melanggar peraturan parti. Walaubagaimanapun, saya mengganggap ianya adalah penghargaan yang tinggi oleh warga UMNO Ampang kepada diri saya terutama jika dilihat dari aspek mengiktiraf suara golongan muda di peringkat nasional. Terima kasih warga UMNO Ampang.

11. Sedikit pengalaman semasa di PAU 2011, saya masih ingat bagaimana Menteri Wanita ketika itu di 'booo' oleh perwakilan kerana isu National Feedlot Corporation yang sedang hangat. Ini menunjukkan para perwakilan sudah berani menegur pemimpin di pentas terbuka seperti itu. Selain itu, antara perkara yang dirisaukan oleh Pengerusi Tetap pula adalah kehadiran di dalam dewan. Seperti tahun-tahun lalu. Usai sahaja Ucapan Dasar Presiden, hampir 30% dewan kosong. Pengerusi terpaksa memberikan gred kepada hadirin supaya mereka peka dengan perkara ini. Malangnya sehingga ucapan penutup, dewan tidak pernah penuh dalam satu-satu masa.  Sebaris dengan kerusi perwakilan UMNO Ampang ialah Bahagian dari Negeri pantai timur. Sepanjang separuh masa kedua hari perbahasan semua perwakilan tidak muncul di kerusi masing-masing.

12. Perwakilan tidak sedar. Tujuan mereka dipilih mewakili bahagian mereka bukanlah supaya mereka boleh berjalan-jalan di Kuala Lumpur atau beramah mesra dengan perwakilan lain. Menjalin ukhwah itu perlu tetapi keutamaan sebagai perwakilan sepatutnya dititikberatkan. Mereka sebenarnya perlu pulang ke Bahagian masing-masing dengan membawa peringatan serta keputusan yang dicapai semasa PAU tersebut. Mereka bertanggungjawab kepada pengundi-pengundi mereka. Mereka masih mempunyai masa di sebelah malam untuk melakukan aktiviti-aktiviti lain.

13. Saya sempat merekod hampir semua ucapan perbahasan. Saya juga memuatnaik intipati ucapan yang penting di portal www.kelabchedet.com beserta sedikit sebanyak sentimen atau maklum balas yang diterima oleh perwakilan di dalam dewan. Walaubagaimanapun, ianya tidak sempat untuk didokumentasikan bagi rujukan pihak Bahagian dan akar umbi di Ampang.

14. Disamping komitmen perwakilan, peranan pembahas juga adalah penting. Mutu perbahasan perlulah berkualiti. Ini adalah kesempatan pembahas untuk menyampaikan hasrat akar umbi dalam menentukan hala tuju dan dasar parti juga Negara. Jika masa yang diberikan tidak digunakan dengan baik, perwakilan juga akan hilang minat untuk terus berada di dalam dewan. Masa yang terbazir tersebut akan merugikan pembahas, perwakilan, dan semestinya UMNO.

15. Selepas tamat persidangan, ramai yang menyatakan langkah saya menawarkan diri ke peringkat G7 adalah kesilapan yang saya harus akui. Saya mungkin tidak menafikannya semasa didakwa begitu, tetapi apa yang saya fikir langkah tersebut adalah langkah yang tepat untuk saya menghargai perjuangan parti ini.

Di dalam politik, saya mungkin telah melakukan banyak kesilapan tetapi menawarkan diri sebagai wakil G7 UMNO Bahagian Ampang pada 2011 bukanlah satu daripadanya.

16. Saya ucapkan tahniah dan syabas kepada semua yang telah berjaya melayakkan diri sebagai G7 untuk tahun ini. Semoga amanah yang diberikan melalui kertas-kertas undi kami di Ampang dapat diterjemahkan melalui komitmen tuan-tuan dan puan untuk membawa pulang 'hasil' yang diharapkan. Perhimpunan Agung UMNO, adalah satu-satunya platform tahunan terbesar umat Melayu di dunia yang membincangkan hala tuju Melayu dan Negara Malaysia tercinta. Selamat Bersidang!


~Hidup 'Rahmatan Lil Aalamin'~