Monday, August 15, 2011

Kerajaan pernah iktiraf demonstrasi jalanan

Pada tahun 7 Mac 2009, satu kumpulan yang menggelarkan diri mereka Gerakan Mansuh PPSMI (GMP) telah berhimpun di jalan raya bagi menuntut kerajaan menghapuskan Proses Pelajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI). Dasar PPSMI telah diperkenalkan pada tahun 2003 sebelum Perdana Menteri keempat, Tun Dr Mahathir Mohamad bersara dari pentadbiran kerajaan.

Pelbagai tekanan terutama dari pihak Gabungan Persatuan Penulis Nasional Malaysia (GAPENA) diterima pada waktu itu yang mendakwa dasar tersebut mencabuli artikel 152 Pelembagaan Negara. Malah gerakan ini juga disokong kuat pihak pembangkang yang turut berhimpun pada petang 7 Mac tersebut. Sasterawan Negara, Datuk A.Samad Said tidak terlepas dari senarai mereka yang terlibat dalam menyampaikan ketidakpuasan hati walaupun sudah beberapa kali diberi peluang berunding dengan Menteri Pelajaran pada ketika itu, Datuk Seri Hishamuddin Tun Hussein.

Selepas pelbagai tekanan diterima, pihak kerajaan akhirnya akur dan membuat keputusan untuk memansuhkan PPSMI beberapa bulan selepas itu. Kerajaan menggantikan dasar tersebut dengan satu dasar lain iaitu Memperkasa Bahasa Melayu, Memperkukuh Bahasa Inggeris (MBMMBI). Dasar ini telah diperkenalkan sebelum PPSMI dimansuhkan. Kerajaan bersetuju dengan pihak-pihak yang membantah PPSMI dan mendapati dasar tersebut tidak relevan bagi memajukan sistem pendidikan kebangsaan.

Dari satu sudut yang lain, beberapa kajian menunjukkan dasar PPSMI masih menerima banyak sokongan. Beberapa kajian sikap dan undian rawak di internet menunjukkan dasar tersebut masih popular dan diterima kebanyakan rakyat Malaysia. Malah terdapat beberapa pihak yang sanggup menubuhkan gerakan-gerakan baru bagi memberi saingan kepada kumpulan GMP. Salah satunya adalah kumpulan Parent Action Group for Education (PAGE) yang mempunyai ribuan pengikut. Malah sehingga kini PAGE masih meneruskan geraknnya yang mahukan dasar tersebut dikembalikan kepada asal.

Walaubagaimanapun, kumpulan pro-PPSMI seperti PAGE ini lebih rasional dalam menyampaikan tuntutan mereka. Turun berarak di jalanan dan berdemonstrasi bukanlah cara yang dapat diterima kumpulan ini. Mereka lebih cenderung menggunakan saluran diplomasi melalui diskusi serta forum-forum akademik bagi menerangkan rasional pengekalan dasar tersebut selain cadangan-cadangan penambah-baikan.

Bagi mereka, budaya tersebut tidak membawa manfaat dan pada hemat mereka kerajaan juga tidak akan melayan tuntutan pendemonstrasi jalanan. Malangnya telahan mereka meleset. Kerajaan akhirnya disifatkan tunduk kepada kumpulan demonstrasi jalanan yang mereka sendiri sifatkan sebagai ‘bukan budaya kita’. Walaupun gagal dalam tuntutan mempertahankan PPSMI, PAGE masih terus berusaha melalui jalan lain termasuklah memohon semakan Mahkamah selain mengharapkan perkenan Istana untuk campur tangan.

Perbezaan perwatakan yang ketara ditunjukkan PAGE dan pihak yang membantah pemansuhan PPSMI. Mereka akur kepada undang-undang Negara yang digubal sendiri badan legislatif Negara ini malah terus memperjuangkan agenda mereka melalui saluran yang sama walaupun tidak dilayan pihak kerajaan. PAGE yakin mereka mempunyai ‘silent majority’ untuk menghukum kerajaan melalui peti undi kerana mempolitikkan pendidikan anak-anak mereka. Bagi mereka, turun berdemo dan di jalanan hanya akan menjadikan diri mereka sama seperti pihak GMP dan ia bukanlah tindakan yang akan dihormati.

Ironinya, kerajaan sendiri telah memberikan isyarat bahawa demonstarasi jalanan mendapat pengiktirafan besar pihak mereka. Lantaran itu, rasionalisasi tindakan kerajaan membenarkan pemansuhan dasar PPSMI perlu diperjelaskan.

Kesimpulannya, kerajaan perlu menjelaskan kepada rakyat, apakah tindakan memansuhkan PPSMI pada ketika itu adalah kerana tunduk akan desakan pendemonstrasi jalanan sedangkan masih ramai rakyat Malaysia yang menyokong dasar tersebut dikekalkan. Rakyat mahukan kepastian sama ada cara demonstrasi jalanan mampu mengubah pendirian kerajaan berbanding cara perbincangan dan diplomasi. Jika benar, maka ia telah pun menjadi precedent (ikutan) yang tidak baik untuk sebuah Negara demokrasi. Selepas ini apa jua permasalahan akan disuarakan di atas jalan raya kerana terbukti, kerajaan peduli akan suara pendemonstrasi jalanan!

Wednesday, June 22, 2011